Articles

Menguruskan NCD melalui diet dan gaya hidup yang sihat untuk mengurangkan keterukan COVID-19

Oleh Tan Ye Ting, Lee Zheng Yii
Persatuan Dietitian Malaysia

Baca dalam English | Chinese

Penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah antara penyebab utama kematian di banyak negara. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, kadar NCD terus meningkat di Malaysia, disebabkan gaya hidup dan tabiat pemakanan rakyat Malaysia yang tidak sihat.

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang besar terhadap kesihatan individu dengan NCD, seperti penyakit kardiovaskular, kencing manis atau kegemukan. Individu yang mempunyai masalah-masalah kesihatan ini lebih berkemungkinan mendapat komplikasi teruk atau maut akibat COVID-19. Menurut Institut Penyelidikan Klinikal, lebih daripada 80 peratus kematian COVID-19 di Malaysia melibatkan individu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit/masalah kesihatan.

Langkah-langkah sekatan semasa pandemik COVID-19 telah memberikan cabaran untuk mengekalkan tahap aktiviti fizikal yang optimum, serta mendapatkan makanan sihat dan rawatan perubatan yang baik. Selain mengikuti langkah-langkah kebersihan yang baik, memakai topeng muka 3 lapis, mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal untuk mengurangkan penyebaran COVID-19, individu yang mempunyai NCD mesti menguruskan masalah kesihatan mereka supaya status kesihatan sentiasa dalam keadaan yang terbaik . Artikel ini memberikan beberapa panduan penting bagi membantu individu yang mempunyai masalah penyakit kronik untuk mengurangkan keparahan komplikasi COVID-19 jika dijangkiti oleh virus tersebut.

1. Awasi nombor anda dan jangan terlupa mengambil ubat anda

Memantau nombor berkaitan kesihatan anda dengan teliti, seperti gula dalam darah, tekanan darah atau kadar kolesterol. Jangan terlupa dos atau menukar ubat atau rawatan anda tanpa berunding dengan doktor anda. Teruskan mengambil ubat anda tepat pada waktunya dan seperti yang diarahkan.

2. Makan makanan sihat yang disyorkan oleh pakar diet anda

Pemakanan dan penghidratan yang baik amat penting pada masa ini. Lakukan yang terbaik untuk makan pelbagai makanan segar dan tidak diproses setiap hari untuk mendapatkan vitamin, mineral, serat makanan, protein dan antioksidan yang diperlukan oleh badan anda.

Garis panduan umum bagi diet sihat di bawah dapat membantu menguruskan kesihatan anda dengan lebih baik. Untuk saranan yang lebih spesifik, sila dapatkan nasihat daripada pakar diet yang berkelayakan:

  • Berat yang sihat. Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan atau mangalami masalah kegemukan, penurunan berat badan sebanyak 5-10% dapat membantu mengoptimumkan paras gula dalam darah dan tekanan darah anda.
  • Membahagikan 3 hidangan diet harian kepada 4 atau 5 hidangan lebih kecil dapat membantu mengawal gula dalam darah dengan lebih baik.
  • Pilih bijirin penuh dan makan sekurang-kurangnya 5 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Serat menyumbang kepada sistem pencernaan yang sihat dan memberikan rasa kenyang yang lebih lama. Ini dapat membantu mengelakkan pengambilan makan secara berlebihan. Contoh makanan bijirin penuh termasuklah oat, beras perang, quinoa, roti gandum penuh dan millet.
  • Kurangkan saiz hidangan dan ikuti Pinggan Sihat Malaysia pada setiap hidangan.
  • Hadkan makanan tinggi lemak dan lemak tambahan. Pilih kaedah memasak yang memerlukan sedikit lemak atau tidak langsung, seperti mengukus, memanggang atau menumis, dan bukannya menggoreng. Pilih lemak sihat dalam kuantiti yang kecil seperti minyak zaitun atau minyak bunga matahari untuk memasak. Untuk mengehadkan lemak tepu, buang kulit atau lemak berlebihan dari daging dan ayam. Elakkan lemak trans seboleh mungkin. Baca label pemakanan untuk memastikan bahawa minyak separa terhidrogen (trans-fat) tiada dalam senarai ramuan. Sekiranya label makanan tidak tersedia, elakkan atau kurangkan makanan yang biasanya mengandungi lemak trans seperti makanan yang diproses, makanan goreng dan pastri.
  • Hadkan makanan manis dan minuman dengan gula tambahan. Sekiranya anda mahukan sesuatu yang manis, buah-buahan segar ialah satu pilihan terbaik. Buah beku dan buah kering tanpa gula tambahan juga merupakan pilihan yang baik. Apabila ingin memilih pencuci mulut, pastikan kandungan gula rendah dan hanya makan sedikit. Berhati-hatilah dengan pilihan rendah lemak, kerana selalunya kandungan gula tambahan tinggi. Hadkan jumlah gula atau madu yang ditambah pada makanan dan minuman.
  • Pilih dan sediakan makanan yang mengandungi sedikit atau tiada garam tambahan (natrium). Cuba guna ramuan herba dan rempah segar atau kering untuk menambah rasa.
  • Hadkan makan di luar dan cuba masak di rumah. Makan di rumah untuk mengurangkan kekerapan anda berhubung dengan orang lain dan menurunkan risiko terdedah kepada COVID-19. Banyak resipi sihat dan lazat boleh didapati dalam talian. Libatkan keluarga anda dan gunakan kaedah memasak yang sihat, supaya anda dan seluruh keluarga dapat menikmati masakan sendiri yang sihat.

3. Aktif secara fizikal

Aktif secara fizikal adalah penting untuk meningkatkan imuniti anda. Cara mudah untuk mula bersenam adalah berjalan selama 30 minit sehari (atau bahagikan kepada tiga sesi, 10 minit dalam setiap sesi). Anda juga boleh mencuba yoga, zumba, berlari dan bermain dengan anak anda di perkarangan rumah, menggunakan tangga lebih kerap atau mengikuti kelas latihan dalam talian.

4. Kunjungi klinik anda untuk pemeriksaan kesihatan

Orang ramai telah dinasihatkan untuk tidak pergi ke hospital kecuali jika benar-benar perlu, ditambah dengan sekatan pergerakan, pengurusan individu dengan NCD mungkin terjejas. Cuba jangan terlepas temu janji dan hubungi klinik anda sekiranya anda melihat perubahan pada kesihatan anda. Tanya doktor atau pakar diet untuk menentukan jika anda boleh mengatur temu janji perubatan anda melalui telefon atau secara maya. Jika kita sentiasa mengikuti janji temu secara berkala sekarang, kita dapat mengelakkan lawatan ke bilik kecemasan di kemudian hari.

Oleh kerana individu dengan NCD lebih berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi COVID-19, penting untuk diingatkan bahawa tidak ada makanan atau makanan tambahan tertentu yang akan menghalang anda daripada dijangkiti oleh COVID-19. Mengekalkan diet yang seimbang dan gaya hidup sihat dapat memastikan sistem imun yang lebih sihat dan mengurangkan risiko masalah kesihatan yang boleh menjadikan penyakit ini lebih teruk.

Artikel ini disumbangkan oleh Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) 2021, satu usahasama pendidikan pemakanan komuniti tahunan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).