Articles

Terapkan Pemakanan Sihat Untuk Melawan Ancaman Kesihatan

Terapkan Pemakanan Sihat Untuk Melawan Ancaman Kesihatan
Baca dalam English | Chinese
Penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) seperti kencing manis, penyakit kardiovaskular dan kanser, serta faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi dalam darah, telah menjadi ancaman kesihatan utama bagi rakyat Malaysia sejak berdekad lamanya.

Semasa kita masih lagi bergelut dengan NCD, kini kita perlu berhadapan pula dengan ancaman kesihatan lain dalam bentuk pandemik COVID-19, yang mana telah memberi impak yang besar dalam semua aspek kehidupan. Kesan-kesannya sangat dirasai terutama bagi mereka yang mempunyai NCD. Kajian telah mendapati bahawa penghidap NCD sangat terkesan dengan jangkitan koronavirus disebabkan keadaan kesihatan mereka yang kronik. Pesakit yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, serta individu dengan berat badan berlebihan atau obesiti dikenal pasti berisiko tinggi untuk sakit teruk atau meninggal dunia akibat COVID-19.

Apa yang lebih membimbangkan, bilangan sebenar orang yang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk mungkin lebih tinggi, kerana sebelum pandemik menyerang kita, Malaysia sudah pun dibebani dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti yang tinggi, iaitu 1 daripada 2 orang Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Tambahan pula, kebanyakan orang Malaysia tidak sedar bahawa mereka mempunyai faktor risiko NCD yang tidak didiagnosis seperti kandungan gula yang tinggi dalam darah dan tekanan darah tinggi.

Langkah ketat seperti kawalan pergerakan juga boleh menyebabkan lebih ramai orang terdedah dengan faktor risiko NCD yang semakin teruk kerana corak pemakanan mereka mungkin terjejas dan aktiviti fizikal pula terhalang. Dikhuatiri juga penularan COVID-19 ini boleh mengganggu rawatan bagi individu yang mempunyai NCD dan faktor-faktor risiko.

Walaupun perhatian kita tertumpu kepada masalah COVID-19 sejak kebelakangan ini, kita perlu juga memberi perhatian kepada usaha membendung dan mengawal NCD, kerana kedua-dua masalah ini saling berkaitan. Apabila kita dapat mengawal COVID-19 pada masa akan datang, usaha melawan NCD mesti diteruskan kerana ia terbukti menjadi ancaman kesihatan jangka panjang yang menjejaskan sebahagian besar populasi. Menerapkan pemakanan yang sihat adalah cara bagi melawan kedua-dua ancaman kesihatan ini.

Kepentingan pemakanan yang sihat

NCD ialah penyakit ‘gaya hidup’ kerana kebanyakan faktor risikonya berkaitan dengan gaya hidup, terutamanya diet tidak sihat dan gaya hidup tidak aktif. Maka, mendapatkan nutrien yang baik melalui diet yang sihat ialah kunci utama dalam membendung NCD.

Kita juga perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengamalkan pemakanan sihat dalam tempoh pandemik ini. Pemakanan sihat penting dalam menyokong sistem imun yang akan mencegah, melawan dan menyembuhkan diri daripada koronovirus yang mungkin menyerang badan kita.

Bagaimana kita boleh memperoleh pemakanan yang baik untuk mencegah NCD dan menyokong sistem imun yang sihat? Berikut beberapa langkah mudah yang boleh kita amalkan:

  • BMV: merujuk kepada prinsip Seimbang, Sederhana dan Pelbagai.
    Maksudnya, kita perlu mengambil hidangan seimbang yang mempunyai pelbagai makanan dari kumpulan makanan utama, makan dalam jumlah yang sederhana supaya tidak terlebih makan, dan pilih pelbagai jenis makanan berbeza daripada setiap kumpulan makanan. Ingat, tiada satu pun makanan atau bahan suplemen yang dapat memberikan nutrien lengkap.
  • Guna kaedah memasak yang sihat untuk keluarga anda.
    Pilih dan guna bahan-bahan yang sihat (cth. lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin penuh, dan daging tanpa lemak) dan gunakan cara memasak yang sihat, dengan mengurangkan penggunaan minyak (cth. mengukus, merebus, goreng kilas).
  • Kawal penggunaan garam, gula dan lemak.
    Anda tidak perlu terus membuangnya daripada diet anda, tetapi cuba kurangkan pengambilan. Apabila memasak dan menyediakan makanan, hadkan penggunaan garam dan perasa dengan kandungan natrium tinggi seperti kicap, sos ikan dan sos tomato. Elakkan daging yang diproses kerana kandungan lemak dan garamnya yang tinggi. Hadkan pengambilan minuman bergula dan makanan manis.
  • Lebihkan buah-buahan & sayur-sayuran dan makanan berasaskan tumbuhan.
    Buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang dan makanan berasaskan tumbuhan yang lain seharusnya menjadi sebahagian dari diet harian anda kerana ia membekalkan vitamin, mineral, serat makanan dan fitonutrien yang penting. Kesemua nutrien ini dapat membantu mencegah NCD dan penting bagi menyokong sistem imun yang sihat.
  • Minum susu setiap hari kerana ia makanan berkhasiat yang kaya dengan protein dan mikronutrien yang diperlukan bagi menyokong kesihatan imun dan membantu membina otot, tulang dan gigi.
  • Sertakan makanan kaya probiotik:
    Sertakan juga makanan yang mengandungi probiotik kerana ia mengandungi bakteria yang menggalakkan kesihatan usus dengan mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus, lalu menyokong sistem imun kita. Ambil makanan yang kaya dengan probiotik seperti susu kultur dan yogurt, atau makanan yang ditapai seperti kimchi, sauerkraut, yogurt buatan sendiri, tapai pulut, tapai ubi dan natto.
  • Kekal terhidrat: Minum antara 6-8 gelas air sehari. Anda digalakkan minum air kosong dan kurangkan minuman manis kerana pengambilan minuman manis yang berlebihan boleh menyebabkan pertambahan berat badan, seterusnya meningkatkan risiko berat badan berlebihan/obesiti. Air kosong tiada sebarang kalori, jadi ia pilihan terbaik bagi menghilangkan dahaga.
  • Gaya hidup aktif: Secara amnya, senaman bermanfaat untuk kesihatan. Aktiviti fizikal yang mudah juga dapat membantu kita kekal aktif. Anda boleh mulakan dengan senaman ringan atau sederhana dalam tempoh masa pendek yang dilakukan sepanjang minggu. Anda boleh lakukan aktiviti ringkas seperti berjalan pantas sekitar kawasan rumah, atau senaman dalam rumah seperti basikal pegun, yoga, senaman tai chi, dan senaman regangan yang ringan.
  • Kekal positif: Tekanan boleh mempengaruhi seluruh kesihatan dan kesejahteraan, jadi anda perlu mencari cara positif untuk menangani tekanan, seperti mendapatkan tidur yang secukupnya, berehat daripada rutin harian anda, dan libatkan diri dengan hobi yang menenangkan.

Jadikan pencegahan NCD dan COVID-19 sebagai keutamaan

Kesihatan anda seharusnya menjadi keutamaan dan pemakanan sihat adalah cara untuk mencapai kesihatan yang baik. Kedua-dua NCD dan pandemik mengancam kesihatan kita, oleh itu kita harus mengambil langkah yang perlu bagi mencegah kedua-duanya. Dan kita juga harus ketahui bahawa tiada makanan, nutrien atau bahan suplemen tertentu yang boleh diambil untuk mencegah COVID-19.

Melalui diet yang sihat, serta amalan kesihatan positif yang lain, NCD boleh dicegah (seterusnya mengurangkan risiko komplikasi COVID-19 yang teruk). Ini juga dapat menguatkan kebolehan sistem imun kita bagi melawan jangkitan. Ingat, pemakanan sihat adalah langkah terbaik yang anda boleh ambil untuk masa depan yang lebih sihat, jadi mulakannya hari ini!

Artikel ini disumbangkan oleh Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) 2021, satu usahasama pendidikan pemakanan komuniti tahunan yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO).